NOVEMBER 2021

Pindaan Perlembagaan Persekutuan Berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 Dibentang


KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang- Undang) Dato’ Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Rabu membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat berkaitan memasukkan negeri-negeri Tanah Melayu dan negeri-negeri Borneo.

Menerusi kenyataan medianya pada Rabu, beliau memberitahu, Rang Undang-Undang (RUU) itu menandakan permulaan lembaran baharu dalam sejarah negara dan langkah pertama dalam mengembalikan hak dan prinsip asas yang telah diwujudkan persekutuan.

Katanya, Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri bersetuju dengan cadangan yang dikemukan untuk mentakrif semula beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan mengikut konteks MA63.

Tambah beliau lagi, usaha itu tidak akan dapat dicapai tanpa sokongan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Mengulas lanjut, Dato Sri Wan Junaidi berkata bahawa perkara 1 Perlembagaan Persekutuan dicadang dipinda dengan menggantikan Fasal (2) kepada Negeri-Negeri Persekutuan terdiri daripada Negeri-Negeri Tanah Melayu iaitu di bawah Semenanjung Malaysia, manakala Negeri-Negeri Borneo iaitu Sabah dan Sarawak.

Jelas beliau, Pindaan juga dicadang pada Fasal 3 Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan takrif Hari Malaysia dan menggantikan takrif Persekutuan selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia yang bertarikh 9 Julai 1963 dan perjanjian berhubung pemisahan Singapura daripada Malaysia sebagai negara merdeka yang bertarikh 7 Ogos 1965.

Pembentangan Rang Undang-Undang yang sepatutnya dibentang pada 26 Oktober 2021 itu dijadualkan semula kerana Kabinet mahu mendengar taklimat Peguam Negara mengenai pindaan itu. -EDISI UKAS

Sumber dari : UKAS